Tuesday 22 April 2014

Kaedah Pemadanan:


Kita perlu mengetahui seyakin-yakinnya, bahawa anda memiliki 20 ekor arowana matang yang berlainan jantinanya dengan nisbah 7 : 13, kerana membiakkan arowana bukanlah satu tugas yang mudah. Kaedah seterusnya hanya boleh dicuba oleh mereka yang berpengalaman lebih dari 5 tahun dalam memelihara arowana Asia sahaja.

Tentukan status pemakanan mereka dengan makanan-makanan segar/hidup yang berkhasiat. Lepaskan 20 ekor arowana tersebut ke dalam kolam. Biarkan mereka membiasakan diri dengan kehadiran antara satu sama lain untuk tempoh beberapa minggu di samping terus-menerus dalam menentukan status gizi yang seimbang buat mereka.

Selepas beberapa minggu, mereka lazimnya lebih ganas berbanding pasangan yang terbentuk secara pilihan semulajadi. Kecederaan demi kecederaan tidak akan dapat dielakkan. Sekiranya mereka menjadi semakin ganas, anda perlulah mengasingkan mereka semula. Kemungkinan tanggapan anda meleset dengan menyangkakan bahawa jantina mereka adalah berlawanan. Antara kemungkinan lain, mereka sebenarnya belum cukup matang untuk dibiakkan. Jika berjaya mendapatkan pasangan arowana yang ideal, pasangan tersebut akan mempamerkan kelakuan berdua-duaan sepertimana yang diterangkan sebelum ini. Bertelur dan membesarkan anak-anak arowana, sama seperti pasangan yang terbentuk secara semulajadi.

Penetasan



Sepanjang tempoh untuk menetas, arowana betina akan mengelilingi dan melindungi arowana jantan dan dipercayai mengusir keluar induk-induk lain daripada lokasi bertelur supaya induk lain mencari lokasi baru untuk bertelur selain induk yang sedang mengeram telur mampu membesarkan anak-anak arowana. Pengusiran ini boleh menyebabkan keganasan dan arowana jantan dikhuatiri akan tertelan beberapa biji telur tanpa ia sedari. 

Dengan suhu antara 28-30° Selsius (79-86° Fahrenheit), kantung telur yang meloyot kekuningan di bahagian luar perut anak-anak arowana akan mula terserap sepenuhnya dalam tempoh 60 hari. Buat pertamakalinya kelak, anak-anak arowana akan beransur-ansur keluar dari mulut bapanya untuk sementara waktu. Di peringkat ini, kita perlu menjaring induk-induk tersebut bagi mengambil anak-anak arowana bagi memperoleh hasil yang produktif. Dalam proses penjagaan, bolehlah memberi makan anak-anak arowana dengan cacing merah (bloodworm) atau anak-anak ikan gapi (baby guppies) dan ulat burung yang halus.

Anak-anak arowana boleh dipindahkan daripada tangki induk mereka, jika mereka dapat menerima makanan yang diberi setelah beberapa hari kemudian. Pastikan air tangki baru diisi separuh daripada air tangki induk mereka, manakala suhu dan komposisinya harus sama dengan tangki induk mereka bagi mengelakkan kekejutan dan kematian dengan suhu 28-29° celsius.

Bertelur

Mereka seterusnya akan berenang seiringan dan bergeser-geseran tubuh antara satu sama lain. Namun sekali sekala, mereka akan diam di satu-satu tempat. Setelah hampir ke penghujungnya, pasangan ini akan menghentikan renangan lalu meneruskan aksi bergeser-geseran tubuh. Dengan kekejangan otot secara tiba-tiba, arowana betina melepaskan telur-telurnya dan serentak dengan itu pula, arowana jantan mengeluarkan spermanya bagi menyuburkan telur-telur tersebut. Proses bertelur biasanya berlaku pada tengahari, manakala bilangan telur yang dilepaskan adalah dalam lingkungan 20-50 biji dan bergaris pusat sekitar 12-15mm. Arowana jantan seterusnya akan menyodok telur-telur seberapa banyak yang mungkin (kebiasaannya, induk jantan akan memungut kesemua telur) dan memeliharanya di dalam mulutnya sehingga ke suatu tempoh tertentu. Manakala telur-telur yang tertinggal, akan dimakan oleh arowana betina bagi mendapatkan semula zat.

Lokasi bertelur

Selera makan mereka juga akan turut menurun sedikit demi sedikit. Perut arowana betina mulai mengembung dan dipenuhi telur-telur. Mereka akan memilih lokasi yang sesuai bagi melepaskan telur-telur, lazimnya di kawasan kurang gangguan dan berarus tenang. Adalah wajar sekiranya kolam ini dilindung (terutama sekali di bahagian tempat bertelur) bagi mengelakkan kerencatan untuk bertelur, jika pasangan tersebut ketakutan. Musim hujan antara bulan ogos sehingga februari sepanjang tahun adalah waktu kemuncak pasangan arowana mengeluarkan hasil.

Berdua-duaan

Kelakuan berdua-duaan mengambil tempoh selama 1 hingga 2 bulan. Sepanjang tempoh ini, mereka akan berenang-renang berdekatan antara satu sama lain (sering berenang dalam bentuk bulatan), berkejar-kejaran, menggigit ekor dan sesirip sesama sendiri serta sering menyebabkan kecederaan pada tubuh juga. Arowana betina lazimnya menerima kecederaan yang berpanjangan, terutama sekali pada sektor lapisan luar insang, sirip anal dan sektor kelamin. Dipercayai di peringkat ini, arowana jantan cuba merangsang rembesan arowana betina.

Kaedah Semulajadi:



Kita harus memiliki simpanan baka yang munasabah untuk berjaya melaksanakannya. Sekurang-kurangnya, 20 ekor arowana matang diperlukan bagi proses ini dijayakan. Besarkan mereka bersama-sama di dalam tangki sejak daripada kecil lagi. Ataupun, kesemua arowana matang dilepaskan ke dalam kolam secara serentak. Dengan cara ini, tidak seekor pun akan dapat menguasai atau membentuk wilayah lebih awal sesama mereka.

Awasi mereka dengan teliti. Jika sepasangan arowana terbentuk, arowana jantan akan berenang berdekatan dengan arowana betina dan mulai mengusir arowana-arowana lain. Pasangan itu cuba meluaskan wilayah mereka. Anda perlulah memindahkan arowana-arowana lain daripada kolam atau membina kolam besar yang saiznya bersesuaian di peringkat ini.

Memadan & Membiakkan Arowana Asia



Terdapat dua cara untuk anda membiakkan arowana-arowana iaitu:
Pertama, adalah dengan mencampurkan beberapa ekor arowana ke dalam tangki dan biarkan mereka memilih pasangan mereka sendiri.

Kedua, dengan memadankan sendiri 2 ekor arowana yang kita fikirkan berlawanan jantinanya serta
berharap pilihan itu tepat dan mereka menyukai antara satu sama lain.


(a) Kaedah Semulajadi
(b) Kaedah Pemadanan